Antara berita yang termuat di Berita Harian Online (10 Ogos 2008) semalam adalah artikel yang bertajuk “Khalid setuju UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera”. Artikel ini sekali lagi membawa kita kepada persoalan yang sudah seringkali dibangkitkan sebelum ini: Wajarkah sistem meritokrasi yang diamalkan di universiti-universiti awam lain di negara ini turut diaplikasikan di UiTM?
Kalau sebelum ini GAMIS tegas dengan pendirian mempertahankan hak Melayu dalam soal peratus penerimaan biasiswa JPA, juga tidak bersetuju kuota kemasukan bukan bumiputera ke IPTA ditambah peratusannya, kali ini GAMIS masih tetap dengan pendirian yang sama. Bukan soal perkauman yang menjadi persoalan utama kami di sini, tetapi hakikat bahawa apabila soal Melayu dibicarakan, perkaitannya dengan Islam tidak dapat dipisahkan. Majoriti masyarakat Melayu itu adalah Muslim. Dan perjuangan utama GAMIS sebagai sebuah pertubuhan mahasiswa Islam pastinya adalah agama Islam itu sendiri.
Alasan yang dikemukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor ada rasionalnya. Mungkin benar, sudah tiba masanya UiTM lebih bersikap global untuk memastikan siswazah UiTM lebih mesra dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Namun, kami di pihak mahasiswa masih tetap tidak bersetuju sekiranya matlamat ini ingin dicapai dengan cara pembukaan kuota pengambilan pelajar UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa UiTM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang diperuntukkan khas untuk bangsa Melayu dan kaum bumiputera. Penubuhan UiTM adalah bertujuan meramaikan golongan professional di kalangan Bumiputera; suatu matlamat yang hingga kini masih belum terlaksana. Professional dikalangan Bumiputera masih lagi rendah bilangannya jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, sedangkan Bumiputera membentuk majoriti di kalangan masyarakat Malaysia. Justeru, hak untuk menubuhkan institusi pendidikan khusus bumiputera sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini wajar dipertahankan. Bukankah ini merupakan sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui dalam mencapai kemerdekaan Tanah Melayu? Perkara 153 ini juga merupakan salah satu peruntukan undang-undang yang tidak boleh dicabar walaupun di dalam Parlimen.
Jika dilihat dari sudut kedudukan ekonomi masyarakat juga, kaum bumiputera masih lagi jauh ketinggalan. Bumiputera masih perlu kepada sokongan kerajaan untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka sedangkan kaum-kaum lain terutamanya kaum Cina telah lama maju ke hadapan. Selama ini, biarpun tanpa bantuan kerajaan, kaum bukan Bumiputera tetap melangkah pantas kerana sokongan dalaman mereka yang kukah serta jaringan yang kuat sesama kaum. Pengkhususan UiTM kepada Bumiputera adalah salah langkah yang dilakukan kerajaan bagi menyamaratakan status ekonomi antara kaum. Justeru, adalah tidak wajar sekiranya sedikit keistimewaan sebegini juga ingin dicemburui.
GAMIS tidaklah secara total membantah cadangan untuk membuka sekurang-kurangnya 10% kuota kemasukan ke UiTM kepada masyarakat bukan Bumiputera. Cadangan ini akan kami persetujui sekiranya bukan Bumiputera yang dimaksudkan adalah golongan mereka yang mengganut agama Islam. Ini selaras dengan dasar perjuangan GAMIS dan status Islam sebagai agama rasmi negara sepertimamana termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Malahan bukankah jika dilihat kepada definisi Melayu, Perkara 160 memperuntukkan bahawa Melayu adalah mereka yang beragama Islam, bercakap Melayu, mengamalkan cara hidup Melayu dan lahir di Malaysia. Bukankah wajar hak mereka yang beragama Islam di sebuah negara Islam diletakkan setaraf dengan kaum Bumiputera?
GAMIS mengharapkan agar pihak Pakatan Rakyat terlebih dahulu menimbang kesan baik dan buruknya setiap cadangan yang diajukan sebelum mengambil apa-apa keputusan ataupun menetapkan sebarang pendirian. Usah kerana ingin meraih sokongan daripada semua kaum yang ada, hak-hak Melayu yang selama ini terbela, digadaikan.
Helmi Qusairy
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
No comments:
Post a Comment