Thursday, August 14, 2008

HIMPUNAN AMAN MAHASISWA: UiTM TUNJUK KETERBUKAAN

5000 Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) turun kejalanan membantah saranan daripada menteri besar selangor yang mencadangkan agar UiTM membuka pintu kepada pelajar bukan bumiputra. Ternyata isu amat sensitif yang tidak sepatutnya dimainkan oleh mana-mana pihak sama ada daripada kelompok melayu ataupun bukan. Buktinya telah jelas apabila beribu-ribu mahasiswa UiTM bangkit mempertahankan hak meraka daripada dipertikaikan oleh sesiapa sahaja.

Dalam hal ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian, bahawa tindakan ini tidak seharusnya dinilai dari aspek memperjuangkan bangsa semata-mata. Tetapi, tindakan yang mengambarkan kesungguhan universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berkarismatik dan berani dalam memimpin ummah dilapangan terbuka bukan sekadar lapangan kampus semata-mata. Sudah tiba masanya kita bebankan pemikiran mahasiswa dengan masalah rakyat kerana dengan cara inilah akan melahirkan rasa percaya rakyat kepada pemimpin masa depan yang akan menjadi pembela kepada nasib meraka. Perlu diingat mahasiswa yang lahir dari dewan kuliah semata-mata akan menyebabkan kecacatan kepada idealisme dan kepimpinan mahasiswa itu sendiri.

Sehubungan itu GAMIS memuji dan menyokong penuh tindakan Majlis Pewakilan Pelajar UiTM (MPP UiTM), Hal Ehwal Pelajar UiTM (HEP UiTM) dan pihak pentadbiran UiTM yang telah menganjurkan dan membenarkan himpunan aman seperti ini dilaksanakan di kampus. GAMIS melihat himpunan ini sebagai tanda persetujuan UiTM dalam menyambut pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang telah pun diluluskan oleh parlimen walaupun UiTM masih lagi mengguna pakai Akta 174. Himpunan ini turut menyampaikan masej yang jelas kepada masyarakat bahawa pihak UiTM sebenarnya mempunyai keterbukaan dalam membenarkan mahasiswanya terlibat dengan program yang bersifat mengakar ini termasuklah himpunan aman. Kami yakin keberanian UiTM kali ini,sedikit sebanyak telah mengubah dimensi pandangan umum yang selama ini menganggap universiti ini mengongkong mahasiswa UiTM dari aktiviti seperti ini.

Akhirnya GAMIS berharap tindakan UiTM ini akan menjadi ikutan dan panduan kapada IPTA/S lain dalam memberi kebebasan kepada mahasiswa dalam menyuarakan pandangan dan melaksanakan apa yang dikatakan ‘Merakyatkan Mahasiswa’. Tindakan segelintir IPTA/S menyekat dengan keras mahasiswa dalam menyampaikan idealisme meraka akan menyebabkan kerugian yang besar kepada universiti dan Negara.

Helmi Qusairy
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

No comments: