Friday, August 15, 2008

ANAK MUDA MENGUKIR SEJARAH……

Anak muda memang darahnya panas ibarat lava yang mendidih. Anak muda pergerakannya pantas bak kilat yang menyambar. Anak muda pemikirannya tajam seperti mata pedang yang terhunus. Anak muda telah membuktikan bahawa sejarah itu milik mereka; merekalah yang mencorakkan sejarah, bukannya sejarah yang mencorakkan mereka. Dunia telah menyaksikan sejarah kebangkitan Islam didokong oleh anak muda. Paparan dunia juga membuktikan anak muda merupakan pembela keadilan yang menentang kezaliman terhadap rakyat. Namun semua ini bukan didapati secara percuma, semua ini hadir setelah gugurnya tangisan anak muda yang telah merasai peritnya berjuang. Sejarah ini terukir kerana tumpahnya darah anak muda yang menyuburkannya.

Wahai anak muda,
Sejarah lama telah berlalu, anak muda ketika itu sudah menjadi tua saat ini bahkan ada yang sudah menamatkan tempoh bekerja di dunia ini. Mereka semua telah berjaya dengan nukilan mereka sendiri. Mereka telah membuktikan kata-kata mereka dengan tindakan sehingga tindakan itu tersemat kemas di dalam lipatan sejarah. Mereka mungkin sering tersenyum ketika menyelak kembali helaian sejarah zaman muda mereka kerana puas dengan hasil segala penat lelah dan kesungguhan mereka dalam berjuang. Tetapi, mungkin juga mereka berduka bilamana melihat telatah anak muda hari ini yang masih lagi mencari-cari rentak perjuangan sendiri.

Wahai anak muda,
Dunia hari ini milik kita: kitalah yang diberi amanah untuk membelanya. Sinar Islam dan keadilannya mesti kita sebar ke setiap pelusuk yang masih kekosongan dan punya kecacatan di muka bumi ini. Kita sepatutnya sudah berani melangkah lebih jauh untuk melakar sejarah yang gemilang untuk zaman kita. Kalau Muhammad Al Fatih ada sejarahnya tersendiri, maka anak muda hari ini pun mesti mengukir sejarahnya tersendiri. Sejarah yang boleh menjadi pedoman kepada generasi akan datang dan menjadi kebanggaan generasi terdahulu melihat adik-adik pelapis yang mereka bentuk berjaya megukir alur-alur sejarah yang baru.

Wahai anak muda,
Kita hidup di zaman yang berbeza, zaman abang-abang dan kakak-kakak kita telah berlalu. Corak pergerakan mereka sesuai dengan zaman mereka dan kita harus mencari corak yang baru untuk membentuk gerakan kita. Kalau corak yang sama kita gunakan hasilnya tidak akan menonjol, mungkin paling jauh kita hanya mengulangi sejarah yang telah mereka lakar. Kita tidak akan berjaya mengukir corak yang baru. Bukan setakat itu sahaja wahai anak muda, yang paling ditakutkan kamu akan lemas dalam nostalgia sejarah lama. Sekarang sudah tiba masanya kita menjadikan sejarah lama sebagai pedoman tetapi jangan sekali-kali menjadikannya ikutan yang hakiki.

Wahai anak muda,
Masa depan Islam dan gerakan ini ditanganmu, maka persiapkanlah dirimu wahai anak muda. Pertajamkan mindamu untuk memikirkan sesuatu yang lain dari kebiasaan. Bebankan mindamu dengan memikirkan bebanan yang berat. Hari ini masalah ummah amat rumit dan engkaulah yang diharap menjadi pemikir mencari jalan penyelesaiannya. Pergerakanmu mesti pantas dalam semua tindakan kerana bebanan kerja amat banyak dan memerlukan tindakan yang tangkas dalam semua gerak kerja. Tingkatkan semangatmu wahai anak muda, jangan kamu sejukkan semangat yang membara dengan perasaan takut dengan ancamam musuh kerana musuh sebenarnya adalah lebih lemah daripada kamu yang berpegang dengan kalimah syahadah. Namun perlu diingat mereka akan menjadi kuat bila kamu tidak sabar dan merasa lemah terhadap ancaman mereka.

Wahai anak muda,
Akhir sekali, dalam menyelusuri jalan perjuangan ini kamu jangan sekali-kali lupa bahawa kamu hanya berusaha dan merancang tetapi segala keputusan dan kesudahannya bergantung kepada Allah, Tuhan yang menguasai sekalian alam. Wahai anak muda eratkan hubunganmu dengan Allah agar ia menjadi pembantumu dan pemandumu dalam setiap tindakan dan langkah sepanjang jalan mengukir sejarah...


No comments: