Thursday, August 28, 2008

SAYA ANAK MERDEKA.....

Tinggal lebik kurang tiga hari lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan Negara yang ke-51. Tarikh keramat ini amat dinanti oleh setiap lapisan masyarakat untuk meraikannya sebagai tanda kebebasan Negara daripada kuasa penjajah dan meletakan Negara ini dalam kelompok Negara berdaulat.

Sudah lebih dari 50 tahun kita merdeka, banyak sudah kejayaan yang telah dicapai oleh Negara dan segenap lapisan masyarakatnya sehingga meletakan Negara kita dan warganya sebaris dengan Negara membangun lain, walaupun dari segi umurnya kita jauh lebih muda. Hal ini bukan sahaja menjadi kebangaan kepada kita warga Malaysia bahkan menjadi buah mulut dan ikutan Negara dan bangsa lain.

Kejayaan yang cemerlang ini terjelma hasil daripada pembentukan modal insane yang baik pada masa silam. Kita seharusnya berterima kasih kepada pemimpin Negara yang telah lalu kerana berjaya membentuk jati diri pelapis yang mengikut acuan sendiri dan mempunyai nilai yang tersendiri. Betul kata pepatah “kalau baik acuannya, maka baiklah hasilnya”. Sekarang ini hasil dari acuan lama sedang berkelip indah di penghujung zaman dan menuggu masa suram dan seterusnya padam dari sinarnya. “Patah tumbuh hilang berganti” itulah yang pasti. Zaman generasi terdahulu dah berlalu dan akan diganti dengan generasi yang baru untuk mengemudi bahtera Negara yang kita cintai ini.

Acuan lama kita gunakan nilai moral sebagai bahan untuk menjadi pengukuh kepada hasil yang dikeluarkan. Namun hari ini tidak begitu, acuan hari ini dibina dengan asas kebebasan dan hiburan dalam semua aspek kehidupan masyarakat pada hari ini. Hasilnya sebenarnya sudah mula tertonjol, gambaran masa depan Negara seakan-akan sedah terpancar di layer memori meraka yang peka dan cintakan Negara. Secara jelas dan tidak mampu lagi dinafikan bahawa acuan hari ini agak lemah dan hasil agak rapuh dan menanti belah.

Kalau dulu penjajah dihalau keluar dari bumi tercinta, tetapi hari ini penjajah dijemput masuk kembali. Meraka tidak masuk untuk menawan setiap inci tanah kita, tetapi mereka dijemput menawan setiap sudut pemikiran dan jati diri individu pasca merdeka ini. Minda meraka disogokan dengan hiburan yang melampau sehinggakan hilang kecergasan mereka dalam menghasilkan pemikiran yang mempunyai nilai inteletualan yang tinggi. Begitu juga dengan jati diri, meraka sudah mula berubah dari jati diri islam dan ketimuran kepada jati diri barat yang sudah jelas menjahanamkan institusi masyarakat yang berpegang kepadanya.

Hari ini, kita menyambut kemerdekaan untuk menunjukan kejayaan pejuang dahulu menghalau penjajah dan dalam masa yang sama kita turut meraikan kejayaan penjajah dalam menguasai pemikiran dan budaya kita.

Jesteru kita perlu meneliti kembali sejarah dan ambil pengajaran dan tauladan untuk kita membina dan membaiki acuan yang rapuh ini agar melahirkan bakal pelapis masa depan Negara yang berkualiti dan mampu memacu Negara untuk merealisasikan wawasan 2020 yang diimpikan oleh setiap lapisan masyarakat yang berjiwa merdeka…

Friday, August 15, 2008

ANAK MUDA MENGUKIR SEJARAH……

Anak muda memang darahnya panas ibarat lava yang mendidih. Anak muda pergerakannya pantas bak kilat yang menyambar. Anak muda pemikirannya tajam seperti mata pedang yang terhunus. Anak muda telah membuktikan bahawa sejarah itu milik mereka; merekalah yang mencorakkan sejarah, bukannya sejarah yang mencorakkan mereka. Dunia telah menyaksikan sejarah kebangkitan Islam didokong oleh anak muda. Paparan dunia juga membuktikan anak muda merupakan pembela keadilan yang menentang kezaliman terhadap rakyat. Namun semua ini bukan didapati secara percuma, semua ini hadir setelah gugurnya tangisan anak muda yang telah merasai peritnya berjuang. Sejarah ini terukir kerana tumpahnya darah anak muda yang menyuburkannya.

Wahai anak muda,
Sejarah lama telah berlalu, anak muda ketika itu sudah menjadi tua saat ini bahkan ada yang sudah menamatkan tempoh bekerja di dunia ini. Mereka semua telah berjaya dengan nukilan mereka sendiri. Mereka telah membuktikan kata-kata mereka dengan tindakan sehingga tindakan itu tersemat kemas di dalam lipatan sejarah. Mereka mungkin sering tersenyum ketika menyelak kembali helaian sejarah zaman muda mereka kerana puas dengan hasil segala penat lelah dan kesungguhan mereka dalam berjuang. Tetapi, mungkin juga mereka berduka bilamana melihat telatah anak muda hari ini yang masih lagi mencari-cari rentak perjuangan sendiri.

Wahai anak muda,
Dunia hari ini milik kita: kitalah yang diberi amanah untuk membelanya. Sinar Islam dan keadilannya mesti kita sebar ke setiap pelusuk yang masih kekosongan dan punya kecacatan di muka bumi ini. Kita sepatutnya sudah berani melangkah lebih jauh untuk melakar sejarah yang gemilang untuk zaman kita. Kalau Muhammad Al Fatih ada sejarahnya tersendiri, maka anak muda hari ini pun mesti mengukir sejarahnya tersendiri. Sejarah yang boleh menjadi pedoman kepada generasi akan datang dan menjadi kebanggaan generasi terdahulu melihat adik-adik pelapis yang mereka bentuk berjaya megukir alur-alur sejarah yang baru.

Wahai anak muda,
Kita hidup di zaman yang berbeza, zaman abang-abang dan kakak-kakak kita telah berlalu. Corak pergerakan mereka sesuai dengan zaman mereka dan kita harus mencari corak yang baru untuk membentuk gerakan kita. Kalau corak yang sama kita gunakan hasilnya tidak akan menonjol, mungkin paling jauh kita hanya mengulangi sejarah yang telah mereka lakar. Kita tidak akan berjaya mengukir corak yang baru. Bukan setakat itu sahaja wahai anak muda, yang paling ditakutkan kamu akan lemas dalam nostalgia sejarah lama. Sekarang sudah tiba masanya kita menjadikan sejarah lama sebagai pedoman tetapi jangan sekali-kali menjadikannya ikutan yang hakiki.

Wahai anak muda,
Masa depan Islam dan gerakan ini ditanganmu, maka persiapkanlah dirimu wahai anak muda. Pertajamkan mindamu untuk memikirkan sesuatu yang lain dari kebiasaan. Bebankan mindamu dengan memikirkan bebanan yang berat. Hari ini masalah ummah amat rumit dan engkaulah yang diharap menjadi pemikir mencari jalan penyelesaiannya. Pergerakanmu mesti pantas dalam semua tindakan kerana bebanan kerja amat banyak dan memerlukan tindakan yang tangkas dalam semua gerak kerja. Tingkatkan semangatmu wahai anak muda, jangan kamu sejukkan semangat yang membara dengan perasaan takut dengan ancamam musuh kerana musuh sebenarnya adalah lebih lemah daripada kamu yang berpegang dengan kalimah syahadah. Namun perlu diingat mereka akan menjadi kuat bila kamu tidak sabar dan merasa lemah terhadap ancaman mereka.

Wahai anak muda,
Akhir sekali, dalam menyelusuri jalan perjuangan ini kamu jangan sekali-kali lupa bahawa kamu hanya berusaha dan merancang tetapi segala keputusan dan kesudahannya bergantung kepada Allah, Tuhan yang menguasai sekalian alam. Wahai anak muda eratkan hubunganmu dengan Allah agar ia menjadi pembantumu dan pemandumu dalam setiap tindakan dan langkah sepanjang jalan mengukir sejarah...


Thursday, August 14, 2008

HIMPUNAN AMAN MAHASISWA: UiTM TUNJUK KETERBUKAAN

5000 Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) turun kejalanan membantah saranan daripada menteri besar selangor yang mencadangkan agar UiTM membuka pintu kepada pelajar bukan bumiputra. Ternyata isu amat sensitif yang tidak sepatutnya dimainkan oleh mana-mana pihak sama ada daripada kelompok melayu ataupun bukan. Buktinya telah jelas apabila beribu-ribu mahasiswa UiTM bangkit mempertahankan hak meraka daripada dipertikaikan oleh sesiapa sahaja.

Dalam hal ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian, bahawa tindakan ini tidak seharusnya dinilai dari aspek memperjuangkan bangsa semata-mata. Tetapi, tindakan yang mengambarkan kesungguhan universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berkarismatik dan berani dalam memimpin ummah dilapangan terbuka bukan sekadar lapangan kampus semata-mata. Sudah tiba masanya kita bebankan pemikiran mahasiswa dengan masalah rakyat kerana dengan cara inilah akan melahirkan rasa percaya rakyat kepada pemimpin masa depan yang akan menjadi pembela kepada nasib meraka. Perlu diingat mahasiswa yang lahir dari dewan kuliah semata-mata akan menyebabkan kecacatan kepada idealisme dan kepimpinan mahasiswa itu sendiri.

Sehubungan itu GAMIS memuji dan menyokong penuh tindakan Majlis Pewakilan Pelajar UiTM (MPP UiTM), Hal Ehwal Pelajar UiTM (HEP UiTM) dan pihak pentadbiran UiTM yang telah menganjurkan dan membenarkan himpunan aman seperti ini dilaksanakan di kampus. GAMIS melihat himpunan ini sebagai tanda persetujuan UiTM dalam menyambut pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang telah pun diluluskan oleh parlimen walaupun UiTM masih lagi mengguna pakai Akta 174. Himpunan ini turut menyampaikan masej yang jelas kepada masyarakat bahawa pihak UiTM sebenarnya mempunyai keterbukaan dalam membenarkan mahasiswanya terlibat dengan program yang bersifat mengakar ini termasuklah himpunan aman. Kami yakin keberanian UiTM kali ini,sedikit sebanyak telah mengubah dimensi pandangan umum yang selama ini menganggap universiti ini mengongkong mahasiswa UiTM dari aktiviti seperti ini.

Akhirnya GAMIS berharap tindakan UiTM ini akan menjadi ikutan dan panduan kapada IPTA/S lain dalam memberi kebebasan kepada mahasiswa dalam menyuarakan pandangan dan melaksanakan apa yang dikatakan ‘Merakyatkan Mahasiswa’. Tindakan segelintir IPTA/S menyekat dengan keras mahasiswa dalam menyampaikan idealisme meraka akan menyebabkan kerugian yang besar kepada universiti dan Negara.

Helmi Qusairy
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Monday, August 11, 2008

UiTM dan Bumiputera: Respon kepada kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim

Antara berita yang termuat di Berita Harian Online (10 Ogos 2008) semalam adalah artikel yang bertajuk “Khalid setuju UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera”. Artikel ini sekali lagi membawa kita kepada persoalan yang sudah seringkali dibangkitkan sebelum ini: Wajarkah sistem meritokrasi yang diamalkan di universiti-universiti awam lain di negara ini turut diaplikasikan di UiTM?

Kalau sebelum ini GAMIS tegas dengan pendirian mempertahankan hak Melayu dalam soal peratus penerimaan biasiswa JPA, juga tidak bersetuju kuota kemasukan bukan bumiputera ke IPTA ditambah peratusannya, kali ini GAMIS masih tetap dengan pendirian yang sama. Bukan soal perkauman yang menjadi persoalan utama kami di sini, tetapi hakikat bahawa apabila soal Melayu dibicarakan, perkaitannya dengan Islam tidak dapat dipisahkan. Majoriti masyarakat Melayu itu adalah Muslim. Dan perjuangan utama GAMIS sebagai sebuah pertubuhan mahasiswa Islam pastinya adalah agama Islam itu sendiri.

Alasan yang dikemukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor ada rasionalnya. Mungkin benar, sudah tiba masanya UiTM lebih bersikap global untuk memastikan siswazah UiTM lebih mesra dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Namun, kami di pihak mahasiswa masih tetap tidak bersetuju sekiranya matlamat ini ingin dicapai dengan cara pembukaan kuota pengambilan pelajar UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa UiTM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang diperuntukkan khas untuk bangsa Melayu dan kaum bumiputera. Penubuhan UiTM adalah bertujuan meramaikan golongan professional di kalangan Bumiputera; suatu matlamat yang hingga kini masih belum terlaksana. Professional dikalangan Bumiputera masih lagi rendah bilangannya jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, sedangkan Bumiputera membentuk majoriti di kalangan masyarakat Malaysia. Justeru, hak untuk menubuhkan institusi pendidikan khusus bumiputera sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini wajar dipertahankan. Bukankah ini merupakan sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui dalam mencapai kemerdekaan Tanah Melayu? Perkara 153 ini juga merupakan salah satu peruntukan undang-undang yang tidak boleh dicabar walaupun di dalam Parlimen.

Jika dilihat dari sudut kedudukan ekonomi masyarakat juga, kaum bumiputera masih lagi jauh ketinggalan. Bumiputera masih perlu kepada sokongan kerajaan untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka sedangkan kaum-kaum lain terutamanya kaum Cina telah lama maju ke hadapan. Selama ini, biarpun tanpa bantuan kerajaan, kaum bukan Bumiputera tetap melangkah pantas kerana sokongan dalaman mereka yang kukah serta jaringan yang kuat sesama kaum. Pengkhususan UiTM kepada Bumiputera adalah salah langkah yang dilakukan kerajaan bagi menyamaratakan status ekonomi antara kaum. Justeru, adalah tidak wajar sekiranya sedikit keistimewaan sebegini juga ingin dicemburui.

GAMIS tidaklah secara total membantah cadangan untuk membuka sekurang-kurangnya 10% kuota kemasukan ke UiTM kepada masyarakat bukan Bumiputera. Cadangan ini akan kami persetujui sekiranya bukan Bumiputera yang dimaksudkan adalah golongan mereka yang mengganut agama Islam. Ini selaras dengan dasar perjuangan GAMIS dan status Islam sebagai agama rasmi negara sepertimamana termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Malahan bukankah jika dilihat kepada definisi Melayu, Perkara 160 memperuntukkan bahawa Melayu adalah mereka yang beragama Islam, bercakap Melayu, mengamalkan cara hidup Melayu dan lahir di Malaysia. Bukankah wajar hak mereka yang beragama Islam di sebuah negara Islam diletakkan setaraf dengan kaum Bumiputera?

GAMIS mengharapkan agar pihak Pakatan Rakyat terlebih dahulu menimbang kesan baik dan buruknya setiap cadangan yang diajukan sebelum mengambil apa-apa keputusan ataupun menetapkan sebarang pendirian. Usah kerana ingin meraih sokongan daripada semua kaum yang ada, hak-hak Melayu yang selama ini terbela, digadaikan.

Helmi Qusairy
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Tuesday, August 5, 2008

Tingkatkan Momentum Dalam GERAKAN

Tingkatkan Momentum Dalam GERAKAN….

Salam perjuangan, sahabat-sahabat yang dikasihi kita sering mendengar pimpinan dan ahli gerakan menyebut perihal momentum dalam kebanyakan ucapan pembakar semangat untuk mengerakan ahli gerakan. Bermacam-macam istilah yang kita dengar “gandakan momentum”, ”gabungkan momentum”, “wujudkan momentum perubahan” dan banyak lagi istilah-istilah yang mengunakan term momentum ini. Namun, adakah kita betul-betul memahami apa yang dimaksudkan momentum itu. Adakah kita sekadar mengunakannya untuk mencantikkan bunga-bunga bahasa yang keluar dari mulut semata-mata. Ataupun sekadar retorika kata-kata sahaja. Fikirkan sekejap sebelum teruskan pembacaan…..

Sahabat-sahabat , InsyaAllah ana akan menterjemahkan maksud momentum daripada aspek fizik. Kalau dari aspek lain ana tak tau sebab ana pelajar FIZIK. Baiklah kita teruskan perbicaraan mengenai momentum. Apakah yang dimaksudkan dengan momentum? Momentum adalah hasil darab jumlah jisim dengan halaju, atau istilah orang putihnya “momentum is defined as the product of the total mass and the velocity”, Jadi inilah maksud momentum dari segi bahasa fizik. Manakala maksud dalam bentuk rumus pula adalah “ P=Mv ” dalam dunia fizik maksud dari segi bahasa tidak berapa penting yang paling penting adalah maksud dari segi rumus kerana rumuslah yang akan menterjemahkan fungsi dan kepentinggan sesuatu teori.

“P=Mv”, Apakah yang tersirat dalam rumus ini sebenarnya? Cuba kita perhatikan rumus tersebut, ia menunjukkan bahawa momentum (P) berkadar terus dengan Mass(M) dan velocity(v) dan ini bermaksud apabila nilai mass (M) bertambah nilai momentum juga turut bertambah begitu juga dengan velocity (v), bila halaju bertambah nilai momentum juga bertambah dan untuk mendapatkan nilai momentum yang maksimum kita kena pastikan nilai Mass (M) dan Halaju (v) sama-sama meningkat. Jika salah satu daripada dua element ini (mass dan velocity) tidak seiring (satu naik dan satu lagi turun) ia akan menyebabkan momentum tidak berubah dan kalau berubah pun dengan nilai yang kecil. Manakala perkara yang tidak boleh dibiarkan terjadi adalah kedua-dua element ini mengalami penyusutan nilai kerana ia akan menyebabkan nilai meomentum jatuh.

Jadi perjelasan di atas adalah dalam skop pengunaan fizik ataupun kejuruteraan dan bagaimana pula dari skop gerakan. Sebenarnya konsepnya lebih kurang sama Cuma yang bezanya hanya pada Mass dan velocity sahaja. Kalau dalam fizik mass merujuk kepada jumlah jisim(kg) tetapi dalam gerakan mass merujuk kepada kuantiti ahli. Manakala velocity dalam fizik merujuk kepada halaju objek atau mass tetapi untuk gerakan velocity merujuk kepada kepantasan ahli gerakan bertindak sama ada dalam gerak kerja, bacaan isu, memahami waqi’ dan sebagainya. Konsepnya sama, kalaulah ahli gerakan ramai sekalipun tetapi tidak pantas dalam tindakan, memahami isu, membaca masalah dan macam-macam lagi yang memerlukan kepantasan maka kadar momentum sebuah gerakan itu tidak akan banyak berubah. Begitu jugalah situasinya jika ahli gerakan pantas bertindak tetapi kekurang tenaga pengerak untuk melakukan bebenan yang banyak menanti. Jadi, untuk kita meletakkan momentum gerakan ditahap maksimum kita kena pastikan kuantiti ahli sentiasa bertambah (tingkatkan pengkaderan) dan kepantasan ahli berada ditahap yang baik (keberkesan tarbiyyah untuk semua aspek rohani,jasmani dan pemikiran) kalau dua element ini kita berjaya tingkatkan, InsyaAllah momentum perubahan yang kita idamkan akan tercapai.. Tetapi awas!!!! Jangan sesekali biarkan kedua-dua element ini merudum serentak… Akhir kalam selamat meningkatkan momentum gerakan demi islam yang tercinta…..takber x3

Lahirkan Saintis Muslim.....

Dewasa ini ilmu sains merupakan tunjang kepada kemajuan sesebuah tamadun.ketinggalan dalam sains bermakna kemunduran kpd sesebuah negara. Melihat kepada negara-negara maju, kehebatan sains dan teknologi meraka membolehkan meraka menjajah negara lain bukan sekadar menjajah secara fizikal tetapi yang paling bahaya penjajahan pemikiran ataupun ideologi.
Kejayaan saintis barat yang paling besar terhadap islam ialah merosakkan aqidah umat islam. Dalam dunia sains teori-teori yang terhasil kebanyakan tidak mempunyai nilai ketuhanan bahkan ada sesetengah teori yang bersifat menafikan kewujudan tuhan, sebagai contoh prinsip keabadian tenaga menyatakan bahawa tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan. Prinsip ini secara jelas menafikan kekuasaan Allah yang maha berkuasa terhadap sesuatu sama ada ingin memelihara mahupun memusnahkan sesuatu. sebenarnya banyak lagi teori-teori dalam sains yang boleh memesongkan aqidah umat islam daripada landasan yang sebenar.
Situasi ini seharusnya menjadi pendesak kepada umat islam untuk tampil menyaingi meraka dalam menerajui sains dan teknologi ini demi menjaga ketamadunan dan nilai pemikiran ummah. Hari ini sepatutnya kita sudah bersedia untuk melahirkan pakar-pakar terutamanya dari kalangan gerakan islam untuk mencabar dan membetulkan teori yang sedia ada. Kalaulah bukan ahli gerakan islam yang tampil untuk membela islam, maka siapa lagi yang kita harapkan. Adakah kita nak mengharapkan umat islam yang tidak menpunyai sensitivi islam untuk tampil sebagai pembela.
Jesteru, gerakan hari ini kena berfikiran jauh dan luas untuk melihat semua ancaman yang menyerang umat islam dan yang paling penting tindakan untuk menyekat ancaman tersebut. Pakar-pakar yang dilahirkan mestilah menyeluruh mencangkumi semua aspek sama ada agama,sains. ekonomi,pengurus an,komputer dan banyak lagi bidang-bidang yang perlu kepada tenaga pakar muslim.Gerakan islam juga perlu lebih peka untuk membaca langkah lawan agar semua bentuk serangan dapat dikesan dan dipatahkan diperingkat awal lagi.